Monday, March 16, 2009

PESAN IBU


Pesan ibu jadilah anak yang baik,bersopan santun,hormat orang tua dan mendengar nasihat serta menerima teguran dari ibubapa.Katanya lagi,tidak rugi menjadi anak yang baik kerana kebaikan itu akan menjamin kesejahteraan hidup.Insyaallah ibu,aku akan menjadi apa yang ibu mahukan selagi doa ibu ada.
Pesan ibu lagi,jangan suka membazir makanan kerana di negara luar yang miskin ada yang makan rumput untuk terus hidup.Sedangkan di tempat kita makanan melimpah ruah Allah berikan.Bersyukurlah jua dengan apa yang ada.Kata ibu lagi,bersyukurlah dengan rezeki yang ada,tak payah komplen tak sedaplah..itulah...inilah.sedang dulu ibu pernah makan nasi dengan garam berkuahkan air kopi bersama nenek.Ibu kata ibu tak pernah komplen pun.Masa tu ibu ikut saja kata nenek,tak sampai hati nak susahkan hati nenek.
Satu lagi pesan ibu,agar saya dan adik belajar bersungguh-sungguh.Kerana dengan pelajaran saja seseorang itu boleh pergi dan menguasai apa saja.Kalau boleh ibu mahu saya dan adik masuk universiti bila besar kelak.Dengan pelajaran kualiti hidup masa depan akan terjamin.Kata ibu dia mahu melihat anak-anaknya berjaya,kata ibu dia tidak mengharap apa -apa balasan atau ganjaran untuk apa yang telah dilakukannya,cukup sekadar menumpang gembira dan bahagia bila melihat kejayaan anak-anak.
Pesan ibu lagi,jangan malas untuk mengerjakan solat.Berdosa besar meninggalkan solat jika tidak ada alasan.Tambah lagi aku anak lelaki,suatu hari nanti akan menjadi imam dalam keluarga.Bila tiba waktu solat,ibu akan mengingatkan aku solat dan memarahi aku jika aku asyik menonton tv atau melayari internet saja.
Itu antara pesan ibu yang setiap hari akan diulang dan diulang tanpa rasa bosan aku akan mendengarnya selagi ibu boleh berkata dan mengingatkan,insyaallah aku akan ingat pesan itu.Setinggi harapan ibu aku menjadi anak SOLEH.Sebab itu ibu memberi nama aku SOLEHUDDIN.

No comments:

Post a Comment